Kategori

08 Disember 2009

Pengumuman

Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.

Saya ingin memaklumkan bahawa laman blog Labuan Kini akan 'bercuti' pada bulan Disember ini. Semua artikel-artikel yang terkumpul akan dipos pada bulan Januari tahun depan.

Banyak yang perlu dipos pada bulan ini, seperti perkembangan atlet-atlet kita ketika temasya Sukan Borneo di negara Brunei Darussalam, Pertandingan Golf Malaysia Inc. (Malaysia Diperbadankan), BIIBBF, dan sebagainya. Namun, sepanjang 12 bulan dalam setahun, apa salahnya 1 bulan ini saya peruntukkan untuk melayan keluarga, bersempena dengan cuti sekolah dan cuti hujung tahun.

Saya ingin meminta maaf sekiranya perkara ini menyulitkan anda. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga Labuan, Selamat Pengantin Baru kepada yang melangsungkan perkahwinan, selamat kembali ke tanah air pada jemaah-jemaah haji yang baru selesai menunaikan Rukun Islam yang ke-5 dan selamat cuti sekolah pada warga pendidik Labuan.

Terima Kasih,

LabuanKini

29 November 2009

Temasya Sukan Borneo 2009 - Labuan Hantar Kontijen

Sukan Borneo 1950

Temasya Sukan Borneo dimulakan pada hari ini di negara Brunei Darussalam. Labuan juga difahamkan menghantar kontijen ke negara jiran itu. Seramai 62 atlet mewakili Labuan pada temasya Sukan Borneo tahun ini.

Turut menghantar atlet pada tahun ini termasuklah, Sabah, Sarawak, Kalimantan Utara, Kalimantan Selatan, Labuan dan Melaka (tuan rumah SUKMA 2010)

Difahamkan hanya 9 acara dipertandingkan, setelah acara bolasepak dibatalkan berikutan penarikan diri pasukan dari Labuan.

(Gambar Ihsan The Daily Brunei Resources)


27 November 2009

Perutusan

LabuanKini ingin mengucapkan

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1430H
&
Selamat menunaikan Ibadat Haji

Kepada seluruh warga Labuan, terutama pengunjung setia Labuan Kini.

24 November 2009

Pertanian Skala Besar Di Labuan?

Petikan dari Utusan Malaysia Online, 22 November 2009

LABUAN: Labuan, yang sangat bergantung kepada barangan pertanian yang diimport dari tanah besar Sabah dan negeri-negeri lain, merancang untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar di pulau itu bagi aktiviti pertanian.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri, Sahbudin Jair berkata, pada masa ini pulau itu mengimport kira-kira 60,000 tan sayur-sayuran dan 48 tan daging sedar sebulan dari Sabah dan negeri-negeri lain.

Sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pulau itu untuk keperluan barangan makanannya, satu pelan tindakan sedang digubal untuk dilaksanakan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata rancangan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar, berkeluasan kira-kira 400 hektar di pulau itu sebagai kawasan pertanian dipersetujui kira-kira 400 peladang dan penternak pada satu taklimat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) minggu lepas.

Sahbudin berkata, pertubuhan itu juga merancang untuk melatih para lepasan sekolah dan siswazah dalam beberapa bidang kemahiran pertanian, terutamanya penternakan dan penanaman.

Beliau berkata, tindakan juga perlu diambil oleh beberapa pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan zon kawasan di pulau itu sebagai zon pertanian.

Pada masa ini, terdapat peladang yang mengusahakan ladang sayur-sayuran tetapi bukan dalam skala besar-besaran, tetapi “hanya tanaman di kawasan rumah masing-masing”.

18 November 2009

BIIBBF - Mesyuarat Kedua

Satu mesyuarat telah diadakan di Kompleks Sukan Air Labuan petang tadi bagi membincangkan hal-hal mengenai Borneo International Island Big Bikers Festival (BIIBBF) ke-10. Antara yang dibincangkan termasuklah melantik AJK Penganjur dan itinerari secara terperinci.

Mengikut maklumat yang LabuanKini terima, Bendahari, Setiausaha dan AJK sudah ditentukan, masalah sekarang adalah untuk melantik Pengerusi Penganjur. Mesyuarat tadi secara sebulat suara mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi Ali Hassan namun beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau tidak. YB Datuk Yussof Mahal sebelum ini pernah mencadangkan Dato' Harris Tan sebagai Pengerusi Penganjur, namun ditolak.

Pada mesyuarat tadi juga dimaklumkan yang Pejabat Parlimen menyumbangkan RM20 ribu untuk menjayakan acara tahunan ini.

Perang Media - Pemuda UMNO Labuan Kritikal?

Hari ini merupakan hari kedua berturut-turut kenyataan media dari meja Ketua Penerangan Pemuda UMNO Labuan, Ismaildin Yaacob terpampang didada akhbar.

Keterangan media tersebut antaranya menyatakan Pemuda UMNO Labuan sebulat suara menyokong tindakan Ketua Pemuda, Mohd Rafi mengutarakan usul supaya Datuk Basiran dipindahkan dari Labuan. Keterangan itu juga menyebut agar Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap Naib Ketua Pemuda, Hj Abdullah Amir, dan meminta beliau menghantar surat tunjuk sebab dalam masa seminggu.

Perkara ini adalah perkara dalaman sayap Pemuda parti, dimana sepatutnya diselesaikan secara dalaman. Usaha untuk membuat keterangan media sebenarnya tidak perlu, kerana mereka boleh berhubung sesama sendiri dengan mudah. Labuan adalah pulau kecil. Jika perkara dalaman pun 'terpaksa disampaikan' melalui media, ini akan memperlihatkan seolah-olah Pemuda UMNO Labuan sudah berada diambang perpecahan tahap kritikal. Usaha untuk mengheboh-hebohkan perkara ini melalui media dikhuatiri akan mengundang andaian bahawa Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi tidak mampu menjaga Pemuda UMNO Labuan, sehingga menjadikan media sebagai perantara untuk berhubung sesama sendiri.

Naib Ketua Pemuda UMNO Labuan, Hj Abdullah Amir sebelum ini menyokong usul agar Datuk Basiran dipindah keluar dari Labuan kerana beliau difahamkan oleh ketuanya, Mohd Rafi bahawa usul ini mendapat sokongan dari UMNO Bahagian dan Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung. Beliau bagaimanapun menarik balik sokongan beliau apabila mendapat tahu bahawa usul tersebut tidak mendapat 'restu' dari UMNO Bahagian dan ketua-ketua kampung, disamping mengetahui kisah sebenar setelah berjumpa sendiri dengan Datuk Basiran bersama 8 ahli Pemuda UMNO yang lain.

17 November 2009

Pemuda UMNO Jumpa KPE Perbadanan Labuan - Yang Keruh Semakin Terang

"Kenyataan saya diputarbelitkan", Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan

"Pemuda UMNO Labuan sebulat suara setuju usul supaya Datuk Basiran dipindahkan", Ketua Penerangan Pemuda UMNO Labuan

"Gambaran yang diberikan kepada saya sebelum ini salah", Timbalan Ketua Pemuda UMNO Labuan

"Timbalan saya belot!", Ketua Pemuda UMNO Labuan

"Usul yang dicadangkan oleh Pemuda tidak mendapat sokongan Bahagian dari awal lagi", UMNO Bahagian Labuan

Tengahari tadi, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Labuan, Hj Abdullah Amir bersama dengan 8 lagi Ketua Pemuda Cawangan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Basiran Saban untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang menjadi kontroversi sehingga tercetusnya usul agar beliau dipindahkan dari Labuan.

Menurut maklumat yang LabuanKini terima, berlaku salah faham mengenai kenyataan beliau. Ketika mengadakan perbincangan dengan pemimpin-peminpin Labuan mengenai kedudukan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, beliau meluahkan kenyataan yang berbunyi ' kenapa kita harus meletakkan otak di lutut...' namun kenyataan beliau itu disalah tafsir.

Datuk Yunus Hj Kurus (Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan/Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan) dikatakan mengadu kepada Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi Ali Hassan bahawa Datuk Basiran mengatakan yang pemimpin-pemimpin Labuan meletakkan otak di lutut. Perkara ini disahkan oleh Mohd Rafi sendiri.

Perkara ini kemudiannya dibawa kemesyuarat peringkat UMNO Perhubungan yang akhirnya menurut kata Mohd Rafi, diputuskan oleh Ketua Perhubungan UMNO WP bahawa Datuk Basiran hendaklah dipindah keluar dari Labuan dengan serta merta.

Namun begitu, ketika perjumpaan dengan Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin minggu lepas, beliau menegaskan akan meneliti perkara ini sebelum membuat keputusan, selepas beliau balik dari menunaikan haji.


16 November 2009

Feri Oh Feri!

Petikan dari New Sabah Times, 16 November 2009

Pengusaha feri diberi kata dua

16th November, 2009

LABUAN: Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ong Tee Kiat, memberi kata dua kepada mana-mana pengusaha feri di negara ini yang tidak mengutamakan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna.

Ong yang tidak menamakan pengusaha yang dimaksudkan, namun berkata kementeriannya telah banyak menerima aduan mengenai mutu perkhidmatan feri tersebut yang tidak memuaskan sehingga memaksa beliau mengarahkan serta merta arahan untuk menangani masalah itu.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama ada lesen mereka di batalkan atau perkhidmatan itu akan diberi kepada pengusaha lain… dalam hal ini tiada lagi kuasa monopoli tetapi apa yang lebih penting berikan khidmat yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam satu sidang akhbar selepas menyampaikan sijil Pendaftaran Kapal Antarabangsa yang pertama di Hotel Waterfront di sini pada Sabtu.

Katanya, sejak beberapa bulan yang lalu, beliau telah menerima pelbagai aduan melalui email dan sms mengenai perkhidmatan feri yang tidak memuaskan dan beliau mengarahkan agensi yang terlibat supaya turun padang dan memastikan pengusaha feri berkenaan sentiasa menjaga tahap keselamatan, keselesaan dan penyelengaraan feri sentiasa ditahap yang memuaskan.

Bagaimanapun katanya, Kementerian sedia memberi peluang kepada pengusaha feri terbabit untuk meningkatkan perkhidmatan, namun jika mereka masih gagal untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat, maka kerajaan tiada pilihan lain untuk menggantikan dengan pengusaha laternatif yang lebih berdaya saing sekaligus dapat merangsangkan industri pengangkutan awam di negara ini.

15 November 2009

Akhirnya BIIBBF Menjadi Nyata

Sekitar jam dua tadi, kelab motorsikal berkuasa besar, LA Riders bermesyuarat di kediaman YB Datuk Yussof Mahal. Beliau yang juga Presiden LA Riders mengesahkan bahawa Borneo International Island Big Bikers Festival (BIIBBF) ke 10 akan diadakan di Labuan pada 18 hingga 20 Disember ini.

Bagaimanapun itinerary secara terperinci belum lagi dibincangkan didalam mesyuarat yang dihadiri kira-kira 10 ahli itu. Satu lagi mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi membincangkan hal BIIBBF secara terperinci, termasuk membincangkan perlantikan ahli-ahli jawatankuasa penganjur.

Ini merupakan berita baik bagi kelab-kelab motor berkuasa besar seluruh Borneo, kerana perkara ini sudah menjadi bualan sejak hujung tahun lepas lagi.

14 November 2009

UMNO Bahagian Berlepas ke KL, Pemuda UMNO Labuan Retak?

Mulai pagi kelmarin, seramai 11 orang wakil dari UMNO Bahagian Labuan telah berlepas ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Ketua Perhubungan UMNO WP, YAB Menteri Wilayah, dan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) yang juga merangkap KSU Kementerian WP bagi menjelaskan pendirian UMNO Bahagian Labuan mengenai kemelut yang melanda Ketua Pegawai Eksekutif PL, Datuk Basiran Saban.

Isu ini yang sudah menjadi agenda "perang media" antara Ketua Pemuda UMNO Labuan, UMNO Bahagian Labuan dan Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung Labuan perlu diselesaikan secara profesional bagi mengelakkan persepsi yang salah mengenai Pulau Labuan.

Bagaimanapun LabuanKini mendapat maklumat mengenai perselisihan pendapat antara Ketua Pemuda UMNO Labuan, Mohd Rafi dan Timbalannya, Hj Abdullah Amir mengenai perkara ini malam Khamis lepas. Mohd Rafi dikatakan memanggil AJK Pemuda UMNO Labuan bermesyuarat, dan didalam mesyuarat tersebut, beliau bertanya kenapa timbalannya berubah pendirian mengenai hal ini. Hj Abdullah Amir pula memberikan alasan bahawa sebelum ini beliau difahamkan bahawa UMNO Labuan, Wanita dan Puteri juga meminta Datuk Basiran dipindahkan. Namun setelah diselidiki, UMNO Bahagian, baik Wanita maupun Puteri tidak pernah bersetuju mengenai hal ini. Hj Abdullah Amir menegaskan beliau perlu berpendirian sama dengan UMNO Bahagian, dan tidak menyokong tindakan seseorang individu sahaja.

Pertikaman lidah antara Mohd Rafi dan Hj Abdullah Amir terhenti apabila seorang demi seorang AJK pergerakan itu meninggalkan mesyuarat.